Kelab/Pertubuhan adalah sesuatu entiti kumpulan yang berstruktur, berperlembagaan, berperaturan dan berkepimpinan yang dianggotai oleh ahli-ahli yang mempunyai minat, kegemaran, hasrat dan kecenderungan yang sama serta bertujuan untuk saling bekerjasama, bantu membantu dan berkongsi sumber dalam melaksanakan aktiviti dan mencapai cita-cita serta matlamat yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama bagi memperkembangkan minat, kegemaran, hasrat dan kecenderungan masing-masing.

Kelab ini dikenali dengan nama ‘Cruisers Car Club’. Kelab ini akan menggunakan nama singkatan Cruisers dan singkatan nama tersebut adalah dianggap sebagai nama yang sah bagi mewakili kelab.

LATAR BELAKANG

PENCETUS PENUBUHAN

Kehidupan sosial adalah disebabkan emosi (perasan) dan kecenderungan manusia kepada perkumpulan bersama manusia yang lain. Manusia yang bersosial adalah perbuatan normal manakala manusia yang terputus dan terasing daripada masyarakat adalah tidak. Fitrah manusia tidak dapat hidup berdiri sendiri, mereka perlu tunjang menunjangi dan hidup secara bermasyarakat. Oleh yang demikian, satu usaha sedang dilakukan untuk menyediakan satu platform dimana ahli-ahli dapat bertukar-tukar fikiran dan bekerjasama dalam menjalankan sesuatu perkara.

Penubuhan kelab ini juga adalah sebagai satu usaha untuk menjauhkan ahli-ahli daripada rasa dan sikap hidup yang hanya mementingkan keuntungan sendiri. Ini kerana apabila dihinggapi oleh rasa ingin hidup sendiri, rasa ingin untung sendiri maka hilanglah sifat keutamaan dan mereka terkepung dalam ruang lingkup yang sempit. Tidak lagi dapat melihat orang lain kecuali hanya dirinya sendiri.

Daripada alasan di atas, maka lahirlah idea untuk mewujudkan satu kelab yang dapat mengumpulkan ahli-ahli yang komited untuk meluangkan masa dan berusaha memajukan kelab dan seterusnya melibatkan diri dengan ikhlas dalam semua aktiviti-aktiviti yang dijalankan.